Pages

Tuesday, November 23, 2010

MENJADI PEMIMPIN YANG DIREDHAI

Pemimpin adalah satu amanah dan bukannya tempat untuk mencari kemuliaan atau sanjungan sebab amanah ini akan ditanya dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.  Realitinya pemimpin-pemimpin sering mendapat pujian, sambutan dan tepukan gemuruh, serta ada yang digelar sebagai seorang pemimpin agong, Perkara ini membuatkan semua orang pasang angan-angan hendak menjadi seorang pemimpin.
Untuk menjadi seorang pemimpin yang diredhai hendaklah ia memiliki beberapa pra syarat agar ia menjadi pemimpin yang betul-betul ‘menjadi’ dan orang yang dipimpin menerima nikmat kepemimpinannya, iaitu selamat di dunia dan juga di akhirat nanti.
Syarat pertama pemimpin ialah iman. Dalam surah al-Kahfi Allah menyatakan iman itu ada tiga implikasi, iaitu imun, aman dan amin.
Imun maknanya kebal daripada maksiat dan rasuah. Aman maknanya dia berasa aman bila bersama Allah dan di depan orang dia baik, di belakang orang pun dia tetap baik, bukannya hipokrit. Amin pula maknanya orang yang boleh dipercayai. Apabila sudah dipercayai barulah layak menerima amanah .
Syarat kedua ialah ilmu kepemimpinan. Kepemimpinan bukannya secara spontan atau pakai tangkap muat sahaja, sebaliknya mesti ada ilmu. Makna kepemimpinan ialah cara menggunakan pengaruh untuk mempengaruhi pengikut mencapai matlamat yang digarap.
Syarat ketiga ialah ’selfleadership.’ Bagaimana kita boleh memimpin orang lain kalau diri kita tidak terpimpin?. Perkataan ‘leader’ merujuk kepada tanggungjawab (al-mas’uliyah). Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Setiap kamu dalam pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawab berdasarkan apa yang kamu pimpin.”
Syarat ini menggambarkan orang yang memimpin itu mampu bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Maknanya, pemimpin tidak cepat melemparkan tanggungjawabnya kepada orang lain, tidak cepat terpengaruh dengan khabar yang tidak pasti. Jika dia melakukan kesilapan, diri sendiri menanggung risiko, bukan mengkambing hitamkan orang lain demi keselamatan diri.
Syarat keempat ialah pemimpin memerlukan ‘The Power Of Communication.’ Ketika berinteraksi dengan pengikut akan menghadapi pelbagai kerenah, keinginan dan tuntutan yang semestinya mampu menenangkan mereka walaupun hajat tidak tertunai, bukannya putar belit.
Cara berkomunikasi ada empat:
  1. Cakap mudah difahami, bahasa terang, arahan jelas tidak berbelit-belit.
  2. Kesamaan. Setiap orang mudah didampingi, tidak ada tembok pemisah atau terlalu protokol. Pasangan berkahwin sebab banyak kesamaan antara mereka. Mereka nescaya bercerai jika ada banyak perbezaannya.
  3. Ikhlas. Walaupun ikhlas terletak di hati dan tidak nampak dengan mata namun ia dapat dirasai. Jika tidak ikhlas seakan ada satu gelombang yang mengganggu perasaan orang yang dipimpin. Kata-kata tidak tajam tidak masuk di hati.
  4. The power of service. Cakap hanya perlu pada tempatnya tetapi bertindak semestinya lebih banyak. Allah memberikan kita dua telinga supaya kita banyak mendengar, Allah memberikan kita dua mata supaya kita banyak melihat dan mengamatinya, kemudian bertindak berasaskan pendengaran dan pemerhatian.

Perkara yang menambah komitmen moral seorang pemimpin berasaskan tafsir lima ayat surah al-muddaththir.
  1. Bangun dan beri peringatan. Pemimpin mempunyai kepedulian sosial yang tinggi. Sekiranya di sekelilingnya terdapat perkara menyalahi kebenaran, dengan kuasanya dia akan meluruskannya.
  2. Mesti membesarkan Allah. Pemimpin perlu sentiasa ke depan tetapi jangan mendahului Allah.
  3. Bersihkan pakaiannya. Pakaian luar dan dalam iaitu hati biar turut bersih.
  4. Tinggalkan dosa.
  5. Janganlah memberi sesuatu kerana ingin mendapat lebih banyak malah kalau boleh jangan ingat bahawa kita pernah memberi kepada seseorang.

Pemimpin Mengikut Islam
1.      Niat Yang Ikhlas
Apabila menerima suatu tanggung jawab, hendaklah didahului dengan niat sesuai dengan apa yang telah Allah perintahkan. Iringi hal itu dengan mengharapkan keredhaan-Nya sahaja. Kepemimpinan atau jabatan adalah tanggung jawab dan beban, bukan kesempatan dan kemuliaan.

2.      Lelaki
Wanita sebaiknya tidak memegang tampuk kepemimpinan. Rasulullah Shalallahu’alaihi wa sallam bersabda, “Tidak akan beruntung kaum yang dipimpim oleh seorang wanita (Riwayat Bukhari dari Abu Bakarah Radhiyallahu’anhu).

3.      Tidak Meminta Jabatan
Rasullullah bersabda kepada Abdurrahman bin Samurah Radhiyallahu’anhu, ”Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah kamu meminta untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya jika kepemimpinan diberikan kepada kamu kerana permintaan, maka kamu akan memikul tanggung jawab sendirian, dan jika kepemimpinan itu diberikan kepada kamu bukan karena permintaan, maka kamu akan dibantu untuk menanggungnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4.      Berpegang Dan Konsisten Pada Hukum Allah
Ini salah satu kewajiban utama seorang pemimpin. Allah berfirman, ”Dan hendaklah kamu memutuskan perkara diantara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka.” (al-Maaidah:49). Jika ia meninggalkan hukum Allah, maka seharusnya dilucutkan daripada jabatannya.

5.      Memutuskan Perkara Dengan Adil
Rasulullah bersabda,”Tidaklah seorang pemimpin mempunyai perkara kecuali ia akan datang dengannya pada hari kiamat dengan keadaan terikat, entah ia akan diselamatkan oleh keadilan, atau akan dijerumuskan oleh kezalimannya.” (Riwayat Baihaqi dari Abu Hurairah dalam kitab Al-Kabir).

6.      Senantisa Ada Ketika Diperlukan
Hendaklah selalu membuka pintu untuk setiap pengaduan dan permasalahan rakyat. Rasulullah bersabda,”Tidaklah seorang pemimpin atau pemerintah yang menutup pintunya terhadap keperluan, hajat, dan kemiskinan kecuali Allah akan menutup pintu-pintu langit terhadap keperluan, hajat, dan kemiskinannya.” (Riwayat Imam Ahmad dan At-Tirmidzi).

7.      Menasihati Rakyat
Rasulullah bersabda,”Tidaklah seorang pemimpin yang memegang urusan kaum Muslimin lalu ia tidak bersungguh-sungguh dan tidak menasihati mereka, kecuali pemimpin itu tidak akan masuk syurga bersama mereka (rakyatnya).”

8.      Tidak Menerima Hadiah
Seorang rakyat yang memberikan hadiah kepada seorang pemimpin pasti mempunyai maksud tersembunyi, entah ingin mendekati atau mengambil hati. Oleh karena itu, hendaklah seorang pemimpin menolak pemberian hadiah dari rakyatnya. Rasulullah bersabda,” Pemberian hadiah kepada pemimpin adalah pengkhianatan.” (Riwayat Thabrani).

9.      Mencari Pemimpin Yang Baik
Rasulullah bersabda,”Tidaklah Allah mengutus seorang nabi atau menjadikan seorg khalifah kecuali ada bersama mereka itu golongan pembantu, iaitu pembantu yang menyuruh kepada kebaikan dan mendorongnya kesana, dan pembantu yang menyuruh kepada kemungkaran dan mendorongnya ke sana. Maka orang yang terjaga adalah orang yang dijaga oleh Allah,” (Riwayat Bukhari dari Abu said Radhiyallahu’anhu).

10.  Lemah Lembut
Doa Rasullullah,’ Ya Allah, barangsiapa mengurus satu perkara umatku lalu ia mempersulitnya, maka persulitlah ia, dan barang siapa yang mengurus satu perkara umatku lalu ia berlemah lembut kepada mereka, maka berlemah lembutlah kepadanya.

11.  Tidak Meragukan
Rasulullah bersabda,” Jika seorang pemimpin menyebarkan keraguan dalam masyarakat, ia akan merusak mereka.” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, dan Al-hakim).

12.  Terbuka Untuk Menerima Idea & Kritikan
Salah satu prinsip Islam adalah kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara ini adalah platform bagi rakyat untuk memberi idea atau kritikan kepada kerajaan & pemimpin agar sama mengembling tenaga & ijtihad ke arah pembentukan negara yang maju. Saidina Abu Bakar berucap ketika dilantik mnjdi khalifah, beliau menegaskan “..saya berlaku baik, tolonglah saya, dan pabila saya berlaku buruk, betulkan saya..”, manakala Khalifah Umar pernah ditegur oleh seorg wanita ketika memberi arahan di masjid, dan beliau menerima teguran tersebut.

Tujuh kualiti untuk menjadi pemimpin yang baik.
  1. Seorang pemimpin yang baik tidak semestinya merendah diri tapi sekurang-kurangnya tidak bercakap besar.
  2. Beliau mesti bersedia menerima tanggungjawab tetapi tidak boleh terlalu mendesak dan berkeras dalam memimpin.
  3. Beliau tidak harus menyalahkan orang lain bagi kegagalan tetapi mengakui kelemahan diri serta tidak harus menuding jari atau mencari seseorang untuk dipersalahkan.
  4. Beliau harus bersikap luhur dan tidak pentingkan pujian dan kemasyhuran.
  5. Beliau patut tahu bagaimana mengendalikan pengikutnya begitu juga pihak atasan serta perlu sensitif dengan sensitiviti orang lain.
  6. Beliau patut bersedia melakukan apa yang diharapkan oleh orang lain untuk beliau laksanakan serta mendukung slogan kepemimpinan melalui teladan.
  7. Beliau perlu bijak dan lebih pintar sekurang2nya berbanding orang yang berada di bawah pimpinannya.

Sunday, November 21, 2010

Pemimpin Yang Gila Nama

Apabila sekali-sekala kita terasa terlalu ingin dipuji dan apabila yang kita mahu dengar hanyalah kata-kata yang sedap-sedap sahaja, lebih-lebih lagi apabila kita mempunyai kedudukan yang tinggi dalam organisasi atau masyarakat, ditambah pula oleh orang disekeliling kita terdiri daripada kaki ampu dan ‘bodek’, maka renungilah sejenak kisah raja tanpa bajunya ini. Cerita pendek turun-temurun ini telah kita dengar sejak di bangku sekolah rendah lagi. Memang sudah lama, namun iktibarnya dapat kita manfaatkan sepanjang usia. Bukan sahaja untuk menilai dan memperbaiki diri kita, malah untuk menilai orang lain, suasana dan perkembangan semasa.

Kisahnya bermula dengan seorang raja yang suka berpakaian cantik. Baginda terlalu gilakan baju dan fesyen baru. Semua tukang jahit dalam negara pemerintahannya sudah dikerahkan untuk menjahit baju barunya. Sehelai demi sehelai. Apabila siap sahaja, raja terus memakainya dan muncul di khalayak ramai. Kembang-kuncup hatinya apabila mendengar pujian rakyat tentang kecantikan pakaiannya. Itulah saat yang paling bahagia dirasakan dalam hidupnya. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, itulah karenah raja tersebut. Dan setiap kali raja muncul dengan pakaian barunya, rakyat akan mengangguk-anggukkan kepala serta memuji-muji baju raja. Namun walaupun telah silih berganti fesyen, silih berganti baju, raja masih belum puas hati lagi. Raja masih merasakan bahawa ada lagi fesyen baru yang belum dicubanya.

Maka menteri-menterinya disekelilingnya pening kepala, apalagi yang boleh diusahakan untuk memenuhi kehendak raja. Kehendak raja mesti dijaga, egonya mesti dikipas terus-menerus. Dan untuk itu para menteri ‘kaki bodek’ sanggup berbuat apa sahaja. Suka hati raja, maka selamatlah kedudukan mereka. Atas desakan raja, maka para pun akhirnya sepakat untuk mewartakan satu iklan besar-besaran – satu hadiah yang cukup lumayan kepada siapa yang dapat menjahit satu pakaian fesyen terbaru untuk raja. Tukang-tukang jahit dari seluruh pelusuk negara pun berduyun-duyun ke istana membawa kertas cadangan, lengkap dengan lakaran dan sebut-harga masing-masing. Namun raja tidak perkenan kerana semua tukang jahit itu sudah dikenalinya. Kalau muka lama, tentu citarasanya juga sama dan daya kreativitinya masih di takuk lama. Akhirnya, semua tukang jahit itu pulang dengan kecewa. Tidak seorang pun diantara mereka yang diterima cadangannya. Raja terus gelisah. Siapakah tukang jahit yang boleh memenuhi citarasanya?

Berita tentang raja mencari tukang jahit yang istimewa tersebar ke serata pelusuk negara. Berita sensasi itu turut sampai ke telinga dua orang lelaki yang sangat bijak menipu. Apalagi, otak licik merekapun berputar untuk mencari helah. Mereka berdua pun sepakat untuk menipu raja. Dengan menyamar sebagai tukang jahit yang terkenal mereka pergi ke istana untuk menawarkan diri sebagai tukang jahit yang mampu menghasilkan pakaian yang sangat istimewa. Raja dan para menteri yang sudah lama ‘pening kepala’ itupun ditipu bulat-bulat dengan cerita-cerita gah daripada kedua tukang jahit palsu itu. Kononnya pakaian yang akan mereka persembahkan buat raja nanti sungguh istimewa tetapi sangat mahal harganya. Apalagi, demi mendengar cerita tentang pakaian istimewa itu, rajapun melonjak-lonjak kegembiraan dan memerintahkan agar baju yang dimaksudkan itu dibuat segera. Belanja untuk membeli benang, jarum dan pelbagai peralatan membuat pakaian pun dikeluarkan dari khazanah negara. Belanja yang dikeluarkan sangat besar. Dan raja terpaksa memberi satu bilik khas seperti mana yang diminta oleh kedua tukang jahit untuk menjahit pakaian istimewa itu.

Tidak lama selepas itu, kedua orang tukang jahit memaklumkan kepada raja bahawa pakaian istimewa baginda telahpun siap. Lalu pada hari yang ditetapkan itu para menteri mengiringi raja ke bilik khas tukang jahit itu untuk memakai pakaiannya dan dari situ raja dijadualkan berangkat ke halaman istana untuk berjalan di hadapan rakyat jelata yang telah sedia menunggu untuk melihat pakaian raja yang baru. Tanpa bertanggung-tangguh tukang jahit memakaikan pakaian istimewa raja setelah baginda membuka semua pakaian yang sedia ada. Sambil memakaikannya kedua mereka memuji betapa segak dan cantiknya raja dengan pakaian barunya. Raja sungguh gembira walaupun sebenarnya baginda sendiri tidak nampak akan baju serta seluarnya. Tetapi oleh kerana pujian kedua tukang jahit, raja yakin sungguh bahawa pakaiannya memang cantik, walaupun sebenarnya baginda sedang berbogel.

Apabila keluar, menteri terkejut melihat raja yang berbogel, tetapi oleh kerana raja begitu beria-ria memuji ‘bajunya’ maka para menteripun turut memuji. Jika pujian raja sejengkal, para menterinya pula menambah hingga jadi sehasta. Wah, raja bertambah suka!Keluar menuju halaman istana, rakyat terpaku, apa tidaknya raja mereka sedang berjalan tanpa seurat benangpun. Tetapi apabila melihat para menteri memuji pakaian raja, maka seluruh rakyat pun segera memuji. Malah lebih daripada pujian oleh para menteri. Pujian sehasta jadi sedepa. Masing-masing memuji dengan bersorak ria. Apalagi, raja pun terus berjalan dengan lagak sombong dan bangganya. Kali ini raja benar-benar puas hati. Tidak disangkanya baju dan seluarnya begitu istimewa.

Tiba-tiba, seorang budak kecil berteriak, “raja tak berpakaian! Raja berbogel.” Semua orang terkejut dengan keberanian dan kelantangan budak tersebut. Mereka terus tersentak. Minda yang tertutup tadi telah terbuka. Kejujuran budak itu telah mencairkan sifat memuji secara membabi buta mereka.Ya, raja memang berbogel. Raja tidak berpakaian. Apalagi mereka pun ketawa beramai sambil mengejek raja. Menteri-menteri pun terkejut. Benar, raja memang berbogel. Pakaian istimewa yang tidak kelihatan itu memang tidak ada lansung. Melihat keadaan itu raja pun tersedar. Barulah raja mengakui hakikatnya bagainda memang tidak berpakaian dan sedang berdiri di hadapan seluruh rakyatnya. Malunya tidak terkira. Lalu dengan pantas, baginda berlari lintang-pukang menuju ke dalam istana di tengah-tengah ejekan rakyatnya.
Itulah nasib pemimpin yang kaki ampu. Justeru mengharapkan pujian dan sanjungan, telah ramai para pemimpin yang kecundang. Pujian membutakan mereka daripada melihat kelemahan dan kekurangan diri.

Mereka telah merasakan begitu ‘super’ sehingga terlanjur bertindak di luar kemampuan diri. Ada yang cuba menunjukan kekuatan dengan harta, sehingga lupa hutang sudah keliling pinggang. Mereka berbelanja besar, kerana disitulah dirasakannya mertabat dan derjat kepimpinannya. Rumah dan kereta besar seolah-olah menjadi penunjuk kepada kewibawaannya. Mereka terlupa, berlagak kaya akan menyebabkan seseorang menjadi papa. Ya, jika ‘kebesaran’ seseorang ditentukan oleh kereta dan rumahnya yang besar, maka siapakah mereka apabila kereta besar dan rumah yang besar itu hilang? Bukankah itu menunjukkan yang mereka hanyalah ‘sikerdil’ yang berdiri di bawah bayang-bayang hartanya? Pemimpin yang begini adalah salinan peribadi raja yang merasakan hebat dengan bajunya bukan oleh sikap prihatinnya terhadap nasib rakyat di bawah pimpinannya.

Selalunya pemimpin yang gila puji akan dikelilingi oleh pengikut yang kaki ampu. Dan bila ini terjadi, yang menderita adalah pengikut. Pengikut akan terus diperkudakan oleh orang atasan demi membodek pemimpin no.1. Penderitaan pengikut, kelemahan dasar dan pelaksanaan kepimpinan serta lain-lain hal yang negatif tidak akan sampai ke atas, justeru telah ditapis terlebih dahulu oleh pemimpin lapisan kedua. Siapa berani melawan arus? Jika pemimpin utama hanya mahupun yang manis-manis. Maka ‘dibancuhlah’ berita yang manis-manis walaupun dari bahan dan perisa yang palsu. Pesan nabi, “katakanlah yang benar walaupun pahit,” tidak diamalkan lagi. Dan ramailah ‘syaitan bisu’ yang diam bungkam terhadap keburukan di depan mata. Lama kelamaan, pemimpin utama semakin tersasar. Tetapi tidak ada siapa yang berani menegur, kerana semuanya menutup akal dan hati dan akhirnya yang tersasar tetap dianggap benar.

Kehadiran dua tukang jahit yang pembohong di sisi raja yang gila puji adalah satu fenomena biasa dalam dunia kepimpinan masakini. Tidak kira apa corak organisasi dan misinya, tetapi jika penyakit gila puji pada pemimpin atasan terus disuburkan oleh orang kanan yang tidak bertanggung-jawab, maka kemusnahan akan berlaku, cepat atau lambat. Jika setiap teguran dan kritikan terus dicap sebagai ‘menderhaka’ maka para pemimpin akan kehilangan orang-orang setia yang tidak suka bermuka-muka. Sedangkan sejarah kepimpinan yang berjaya dikalangan para Rasul dan khulafaur Rasyidin semuanya mengamalkan sikap terbuka kepada teguran. Rasulullah pernah ditanya tentang satu keputusannya dalam satu peperangan. “Apakah ini dari wahyu ya Rasululllah?” tanya para sahabat. Jika bukan, maka para sahabat berani memberi cadangan balas. “Aku akan betulkan kau dengan mata pedang,” jerit seorang rakyat Umar apabila Sayidina Umar minta ditegur jika bersalah dalam urusan pemerintahannya. Dan Umar sendiri pernah berkata, “perempuan itulah yang benar, Umarlah yang salah,” apabila pandangannya tentang mas kahwin ditolak oleh seorang wanita tua.

Semakin tinggi pokok yang kita naik maka semakin kuatlah angin yang menggoyang, maka begitulah keadaannya dengan para pemimpin. Semakin tinggi kedudukannya dalam masyarakat maka semakin banyak ujian yang mesti dihadapinya. Ujian dalam bentuk kesusahan, cercaan dan kekurangan biasanya mudah dihadapi. Selalu ujian jenis ini menjadikan jiwa para pemimpin lebih kuat, lebih ikhlas dan lebih sabar. Layang-layang akan terbang tinggi jika melawan angin, maka begitulah taraf dan mertabat kepimpinan, semakin diuji maka semakin tinggi kualiti kepimpinannya. Namun keadaan sebaliknya boleh berlaku apabila para pemimpin diuji dengan kesenangan, pujian dan kenikmatan. Keadaan ini boleh menyebabkan sesorang pemimpin leka. Mereka mula merasakan diri mereka besar dan ‘super’. Dan pada ketika itulah datangnya kaki bodek yang mengipas hingga para pemimpin lena dengan pujian dan sanjungan. Apa sahaja yang dibuatnya dirasakan serba kena dan dia merasakan sebarang kritik adalah untuk menggugat kepimpinannya. Maka ketika itulah orang-orang yang jujur mula meninggalkannya. Yang tinggal hanyalah ‘sokong yang membawa rebah’.

Setiap orang mempunyai ‘bilnd spot’nya tersendiri, termasuk para pemimpin. Ia adalah kelemahan diri kita yang terletak pada sisi lain yang tidak kelihatan pada pandangan pandangan kita sendiri. Maka setiap orang memerlukan orang lain untuk menegur dan menyatakan kelemahan dirinya. Justeru Rasulullah saw pernah menyatakan bahawa orang mukmin adalah cermin kepada saudaranya yang lain. Ertinya, kita mesti membuka pintu hati dan minda untuk melihat diri kita melalui persepsi orang lain – dan dalam konteks ini, jika seorang mukmin pasti dia akan menegur dan membetulkan saudaranya dengan jujur dan kasih-sayang. Malah menurut Imam Ghazali, seseorang boleh melihat aib dirinya bukan sahaja melalui kacamata dan penilaian guru atau sahabatnya, tetapi juga dari pandangan musuh-musuhnya. Musuh akan mengatakan sesuatu ‘yang tidak baik’ terhadap diri kita, dan mungkin sesuatu yang tidak baik itu benar-benar ada pada diri kita yang selama ini tidak tergamak disebut oleh orang-orang yang rapat dengan kita. Maka ketika itu ‘kejian’ oleh musuh adalah ‘rahmat’ yang dengannya kita boleh memperbaiki kesilapan kita.

Hakikatnya masih ada para pemimpin yang belum mendapat iktibar daripada cerita tanpa bajunya ini. Mereka masih tidak dapat membezakan antara sikap optimis dengan realistik. Terlalu optimis akan mendedahkan kita kepada sikap suka puji yang kononnya akan mendorong peningkatan kualiti dan visi kepimpinan kita. Sedangkan sewajarnya mereka bersifat realistic dengan merasakan bahawa dalam apa jua kelemahan diri sentiasa ada. Kadangkala kelemahan itu kecil sahaja, namun akibat memandang enteng, yang kecil itu akhirnya membesar dan menghalang kelancaran kepimpinan kita. Ya, berapa ramai orang yang terjatuh kerana tersepak batu kecil… dibandingkan dengan terlanggar batu besar?

Yang pastinya dunia kepimpinan menagih kejujuran persis kanak-kanak yang masih bersih dari sebarang kepentingan (dalam cerita ini) untuk dimurnikan semula. Mereka yang tidak bergantung hidup kepada pemimpin sahaja yang dapat menyuarakan kebenaran tanpa segan silu. Bukan benci, tapi sayang. Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan, sayang pemimpin tegur-tegurkan! Tapi risikonya besar… bayangkan jika jarum injeksi seorang doctor dilihat sebagai pisau seorang pembunuh…Tentu sahaja kejujuran menagih korban. Hang Nadim telah terkorban kerana kejujurannya di hadapan raja Singapura. Entah apa nasib ‘budak’ yang menyebabkan raja diketawakan dalam cerita ini…Dan apakah nasib mereka yang sanggup berkata benar di hadapan para pemimpin disepanjang zaman? Sabda Nabi Muhammad antara lain bermaksud, bahawa antara jihad yang besar ialah menyatakan kebenaran di hadapan raja yang zalim… Sanggupkah kita?


Thursday, November 11, 2010

Haji : Bayangan Perjalanan Menuju Kematian

Setiap di dunia mempunyai regunya masing-masing. Hitam regunya putih, lelaki regunya perempuan, pagi regunya petang dan siang regunya malam. Inilah hakikat yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran :

سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنْفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ (36)
yang bermaksud : Maha Suci Tuhan yang Telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui. (Surah Yaasin, ayat 36)

Demikian juga firman Allah SWT :وَمِنْ كُلِّ شَيْءٍ خَلَقْنَا زَوْجَيْنِ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Yang bermaksud : Dan segala sesuatu kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah. (Surah al-Zariyat, ayat 49)

Kebenaran ayat ini disahkan bukan sahaja oleh Allah SWT bahkan oleh penemuan ahli sains  yang antara lain menemui proton yang berpasangan dengan elektron di dalam atom. Demikian juga dengan caj positif dan negatif di dalam arus eletrik. Semuanya membuktikan bahawa setiap apa yang ada di dunia ini ada pasangan atau regunya masing. Apa yang tidak mempunyai regu hanyalah zat Allah SWT.

Sesuai dengan kesucian zat Allah SWT sebagai Tuhan Yang Maha Esa dan tidak ada sebarang sekutu bagiNya. Justeru, sangatlah besar dosa orang-orang yang meletakkan regu kepada Allah SWT di dalam apa jua bentuk pengabdian. Inilah yang dinamakan syirik yang tidak maaf bagimu di akhirat kelak.

Firman Allah SWT :إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا
Yang bermaksud  : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. barangsiapa yang mempersekutukan Allah, Maka sungguh ia Telah berbuat dosa yang besar. (An-Nisa’, ayat 48)

Jika setiap perkara mempunyai regu, maka hidup manusia juga mempunyai regu. Regunya ialah kematian. Begitu juga dunia, regunya ialah akhirat. Oleh kerana perjalanan hidup manusia ini tidak hanya terhenti di persinggahan dunia ini semata-mata  tetapi akan bersambung sehingga ke akhirat, maka menjadi kewajipan bagi manusia mempersiapkan dirinya untuk menempuhi kehidupan di akhirat.

Kita bahkan seringkali melihat bagaimana jemaah-jemaah haji mengikuti kursus-kursus yang diadakan sebagai persiapan untuk menempuhi suasana haji yang sebenar, begitu juga dengan pelajar-pelajar yang akan menempuhi peperiksaan, dilatih dengan pelbagai tuisyen dan kelas tambahan untuk menempuhi peperiksaan, maka kehidupan akhirat dan peperiksaan di padang mahsyar lebih patut lagi diadakan kursus persediaan dan kelas tuisyennya yang tersendiri.

Untuk tujuan persediaan dan penyesuaian hidup di dunia dengan apa yang akan dtempuhi oleh manusia kelak di akhirat hanya diajar oleh Islam. Semua ideologi yang lain samada di atas nama sekular, nasionalis, sosialis, komunis dan sebagainya tidak pernah mengajar manusia bagaimana untuk hidup sejahtera di akhirat. Beleklah kitab-kitab rujukan ideologi ciptaan manusia ini, pastinya tidak ditemui sepatah kalimahpun berkenaan hidup selepas mati kelak. Tidak ditemui peringatan tentang syurga atau neraka serta dosa atau pahala.

Justeru, Islam melatih penganut-penganutnya tanpa mengira bangsa apa sekalipun untuk tunduk patuh kepada Allah SWT sebagai latihan untuk menempuhi kehidupan akhirat khususnya melalui ibadah seperti solat dan haji. Ibadah solat misalnya, diperintahkan untuk terus dilaksanakan apabila kedengaran panggilan azan. Segala kerja yang sedang dilakukan perlu ditinggalkan segera untuk kesemuanya bergerak serenatak ke masjid. Ini betul-betul menepati bayangan akhirat yang diceritakan oleh Allah SWT :وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَإِذَا هُمْ مِنَ الْأَجْدَاثِ إِلَى رَبِّهِمْ يَنْسِلُونَ

Yang bermaksud : Dan ditiuplah sangkalala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka.(Surah Yasin, ayat 51)

Maha Suci Allah SWT yang telah merakamkan bayangan ini di dalam al-Quran lalu diterjemahkan di dalam ibadat solat. Ia merupakan latihan kepada semua penganut Islam untuk berdepan dengan saat yang namanya ialah akhirat. Diperintahkan bersegera untuk bersolat di masjid sekalipun berdepan dengan kesibukan kerja dan urusan yang penting, sungguh menyamai saat manusia berduyun-duyun ke padang mahsyar menyerahkan diri di hadapan Allah SWT untuk dihisab segala amalan.

Demikian juga dengan  ibadah haji, manusia diminta tinggalkan segala apa yang dimiliki bermula dari keluarga, tanah air, harta benda, saudara mara dan sebagainya hanya semata-mata untuk menyahut panggilan Allah SWT di Tanah Haram. Ini ditambah pula dengan perintah supaya memakai pakaian yang berwarna putih benar-benar menepati saat hari kematian iaitu pada saat manusia meninggalkan dunia untuk bertemu Allah SWT. Manusia perlu patuh, dan tidak ada pilihan lain kecuai terus patuh. Di dalam ibadah haji misalnya, tidak boleh dipersoalkan kewajaran ibadah seperti tawaf, sa’ie, wukuf, melontar di jamrah dan sebagainya. Tidak ada penjelasan dan rasional untuk difikirkan oleh manusia kecuali hanyalah semata-mata ia merupakan perintah Allah SWT.

Di dalam ibadah solat, manusia diminta untuk menyucikan diri terlebih dahulu untuk bertemu dengan Allah SWT. Zahir perlu disucikan daripada najis, manakala batin pula disucikan daripada hadas samada besar atau kecil serta syirik dan juga penyakit hati yang lain. Suci ini tidak disyaratkan di dalam ibadah yang lain seperti zakat dan puasa. Manakala di dalam ibadah haji, disyaratkan agar jemaah berangkat dengan harta yang bersih dan hati yang bersih. Diperintahkan bertaubat kepada Allah SWT dan bermaaf-maafan dengan semua pihak agar hati yang pergi mengadap Allah SWT ialah hati yang bersih daripada perasaan yang tidak baik terhadap pihak yang lain. Diperintahkan untuk menziarahi saudara mara sebelum bertolak ke Tanah Haram agar tali persaudaraan tidak putus dan segar dengan doa yang mengiringi pemergian.

Demikianlah perjalanan menuju kematian, jika solat dan haji disyaratkan agar suci terlebih dahulu, maka kematian dan perjalanan ke akhirat lebih-lebih lagi diperintahkan agar bersuci terlebih dahulu. Alangkah mulianya sebuah kematian jika si mati bersih dari  dosa dengan Allah SWT serta dosa dengan manusia. Sungguh bertuah si mati jika yang mengiringi dirinya ke tepat persemadian sementara menunggu untuk dibangkitkan kelak di akhirat ialah doa daripada anak-anak yang soleh dan saudara-mara jauh dan dekat. Justeru, solat dan haji ialah latihan untuk menempuhi kematian.

Kerana itulah, di dalam solat dan haji, kita diajar untuk sentiasa bertasbih, bertahmid dan bertakbir memuji Allah SWT. Kesemua bacaan yang diperintahkan ini ialah satu suntikan antibiotik terhadap jiwa kita bagi menangkis gangguan virus yang bernama syaitan.

Mengingati Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad alaihimassalam di Dalam Solat dan Haji

Dari sisi yang lain, solat dan haji ialah dua ibadat yang diperintahkan untuk kita mengingati dua nabi yang ulung iaitu Nabi Allah Ibrahim alaihissalam dan Nabi Muhammad SAW. Di dalam duduk tahiyyat ketika solat, kita menyebut nama kedua-dua nabi ini manakala di dalam ibadah haji, kita menjadikan amalan yang dimulakan oleh Nabi Ibrahim dan disahkan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai amalan haji atau manasik.

Kenapa kedua-dua nabi ini begitu dominan dalam ibadat solat dan haji? Antaranya ialah kerana sejarah kedua-duanya yang begitu unggul dengan pengorbanan di dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Nabi Ibrahim AS pernah dihalau oleh bapanya dari rumah, dibakar hidup-hidup, diusir keluar dari tanah airnya, berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat untuk menyelamatkan imannya dan pelbagai lagi ujian yang menimpa, kesemuanya dilalui dengan penuh keimanan menjadikan diri baginda layak untuk menjadi ikutan oleh seluruh umat Islam.

Demikian juga Nabi Muhammad SAW yang dipulau oleh kaum Quraisy selama tiga tahun di Syi’ib Ali, tidak dibenarkan masuk ke tanah air tumpah darahnya sendiri sekembalinya dari Thaif sehingga terpaksa meminta pertolongan dari seorang musyrik bernama Mut’am bin Adi dan terpaksa keluar dari Mekah menuju ke Madinah dengan memohon pertolongan dengan Abdullah bin Uraiqit yang merupakan seorang musyrik pada masa itu. Kesemuanya merupakan sekelumit daripada episod  hidup yang dilalui oleh baginda Rasulullah SAW.

Jelas sekali, kedua-duanya merupakan contoh yang sangat baik dan praktikal untuk dijadikan ikutan di dalam hidup sebagai seorang mukmin. Alangkah lebih jauh lagi tapak-tapak kaki kita dengan jejak-jejak yang telah ditinggalkan oleh kedua-duanya!

Sekular Tidak Melatih Untuk Akhirat

Latihan untuk akhirat ini tidak wujud di dalam mana-mana ideologi sekular. Sekular hanya mengajar penganutnya untuk menjadi kaya, hebat dan berjaya di dunia sahaja tanpa mempedulikan implikasi di akhirat. Seorang penganut sekular jarang sekali terpancul keluar dari kedua-dua belah bibirnya peringatan tentang syurga, neraka, dosa dan pahala. Sekular menjadikan manusia merasakan dirinya sebagai tuhan, penguasa mutlak terhadap semua perkara yang dimiliki olehnya.Sedangkan Islam memandang manusia hanyalah penumpang di bumi Allah SWT. Apa yang dimiliki oleh manusia sebenarnya  tidak dimiliki olehnya secara mutlak, ia merupakan milik Allah SWT.

Sebagaimana seorang penumpang bas atau kapal terbang, tidak akan disebut sebagai pemilik bas atau kapal terbang kerana dia akan turun di stesen yang telah ditetapkan. Selepas meninggalkan stesen, ia tidak disebut-sebut lagi sementara bas dan kapal terbang tadi akan menerima penumpang yang lain. Demikianlah di dunia, selepas kematian, segala apa yang kononnya dimiliki akan berpindah ke tangan orang lain. Bukan setakat harta, bahkan oksigen, penglihatan, pendengaran dan kesemuanya milik Allah SWT. Inilah ajaran Islam.

Sekular tidak pernah mengingatkan manusia tentang akhirat. Tidak seperti Islam yang mengajar penganutnya menyebut berulang-ulang peringatan tentang hari kiamat di dalam solat melalui bacaan surah al-fatihah. Keperluan  terhadap kiamat ini merupakan keperluan asasi manusia untuk dibalas segala perbuatan orang-orang yang zalim di dunia serta diganjari kebaikan orang-orang yang melakukan kebaikan. Bolehkah sekular tanpa kepercayaan terhadap hari kiamat memberikan kepuasan kepada manusia? Jawabnya tidak.

Betapa ramai orang-orang yang kaya yang bakhil dan penguasa yang zalim mati dengan kekayaan dan kezalimannya tanpa dibalas terhadap perbuatannya? Begitu juga orang-orang yang melakukan kebaikan dan tidak pernah mendapat penghargaan terhadap kebaikannya sepanjang hidup, bilakah masanya dia akan mendapat ganjaran terhadap kebaikannya jika tidak di akhirat? Maka secara semulajadi, manusia inginkan akhirat agar di sana dapat dilunaskan segala kezaliman dan diganjari segala kebaikan. Inilah yang diajar oleh Islam melalui firman Allah SWT :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَنْ زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ
Yang bermaksud : Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah Ali Imran, ayat 185)

Alangkah bertuahnya dunia apabila kepercayan terhadap akhirat menjadi akidah dalam diri manusia. Tanpa polis dan undang-undang sekalipun, tidak akan berlaku jenayah kerana manusia yakin perbuatannya akan dinilai oleh Allah SWT. Tetapi tanpa kepercayaan terhadap hari kiamat, beratus ribu polis ditambah dengan hukuman yang berat sekalipun, manusia akan mencari helah dan jalan untuk melakukan jenayah.  Dengan kepercayaan terhadap hari akhirat, manusia bukan sahaja gerun untuk mencerobohi harta orang lain, bahkan untuk menguruskan hartanya sendiri pun tidak boleh menurut selera nafsunya semata-mata. Ia perlu berpandu kepada Allah SWT.

Sayangnya, mesej yang sebegini penting jarang sekali kedengaran melalui lidah pemimpin-pemimpin negara. Mesej yang membawa pengertian akidah sebegini kebiasaannya hanya diperdengarkan di masjid-masjid melalui ustaz-ustaz atau tok-tok lebai semata-mata. Alangkah baiknya jika setiap pimpinan negara samada bergelar Presiden, Perdana Menteri atau apa jua gelaran sekalipun mengambil langkah sentiasa  mengingatkan rakyat terhadap kehidupan di akhirat. Tentu sekali peringatan sebegini akan diulang-ulang pula oleh  pimpinan seterusnya samada menteri, pegawai tinggi kerajaan hinggalah ke peringkat bawah dan berakar umbi di dalam masyarakat. Tidakkah Rasulullah SAW selaku ”PM” di Madinah seringkali menyebut peringatan-peringatan seperti ini?

Jelas sekali bahawa sekular yang dibangga-banggakan ini tidak akan membawa kesejahteraan kepada hidup manusia samada di dunia apatah lagi di akhirat. Inilah matlamat perjuangan gerakan Islam khususnya di Malaysia. Perjuangan gerakan Islam bukanlah hanya untuk memenangi satu dua pilihanraya semata-mata, tetapi lebih jauh dari itu ialah untuk meruntuhkan tembok sekular dan digantikan dengan Islam.

Penutup

Akhir kata, harapan saya agar ibadah haji yang dilaksanakan oleh jemaah-jemaah haji pada tahun berjaya meningkatkan keyakinan kita terhadap hari akhirat seterusnya menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi saat tersebut. Kepada mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji, hayatilah ibadah korban yang dilakukan di tanah air dengan mengambil semangat Nabi Ibrahim AS untuk menjadi teras panduan di dalam hidup kita. Insya-allah pada tahun ini saya akan bersama-sama rombongan KDYMM  Sultan Muhammad ke-V untuk mengerjakan haji di Tanah Suci. Doakanlah agar pemergian kami mengerjakan haji pada tahun ini diberkati oleh Allah SWT dengan pemergian dan kepulangan yang aman sejahtera, Insya-Allah. Hajjun Mabrur wa Sa’yun masykur.Sekian.


YAB TUAN GURU DATO HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 1 Zulhijjah 1431 H / 8 November 2010 M