Pages

Saturday, September 3, 2011

KETUA MENTERI YANG MISKIN...

Said bin Umair seorang gabenor yang fakir di Kota Hams, Syria. Beliau dilantik menjadi gabenor semasa zaman Khalifah Umar bin al-Khatab r.a.
Khalifah Umar al-Khatab r.a adalah seorang pemimpin yang sentiasa mengambil berat hal ehwal kebajikan rakyatnya. Setiap tahun beliau menyampaikan senarai mereka yang layak untuk menerima bantuan dari harta Baitulmal.

Pada suatu ketika, apabila senarai penerima bantuan diserahkan kepada Khalifah Umar, maka terperanjatlah Umar kerana didalam senarai tersebut adanya nama Said bin Umair yang paling layak menerima bantuan.

Untuk mendapatkan kepastian, Khalifah Umar bertanya, siapakah Said bin Umair ini. Utusan yang membawa senarai tersebut menjawab "beliau adalah gabenor kami". demi Allah! sudah berhari-hari dapur rumahnya tidak berasap, tidak ada makanan untuk dimasak".

Mendengar berita itu, Khalifah Umar menangis, Kemudian memasukkan seribu dinar ke dalam bungkusan dan berkata, "Berikan ini kepadanya untuk kehidupannya''. Utusan itu kembali ke kotanya. Lalu diserahkan bingkusan itu kepada Gabenornya. lalu Said bin Umair melafazkan, "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un" seolah-olah beliau ditimpa masalah besar.

Isterinya terdengar kata-kata bernada sedih itu lalu bertanya, "Ada apakah? Apakah yang terjadi? Apakah hal yang terjadi ke atas amirul Mukminin?" Said berkata, "Lebih dari itu. Sekarang aku di datangi keduniaan yang hendak merosakkan akhiratku".

Isterinya menjawab, "Lenyapkan saja dunia itu." sebenarnya Isteri Said bin Umair tidak tahu sama sekali tentang seribu dinar itu. Said berkata, "Isteriku, sudikah kau akan membantuku melenyapkannya?"

Isterinya menjawab, "Ya." tanpa menunggu masa yang lama, mereka mengagihkan seribu dinar tadi kepada fakir miskin yang berada di dalam kota Hams.

Pada tahun berikutnya, seperti biasa, apabila Khalifah Umar menerima senarai penerima, Said bin Umair telah berada pada tangga pertama yang layak menerima bantuan Baitulmal. Khalifah Umar menghantar bantuan, tetapi pada kali ini telah diterima oleh isterinya, apabila dikhabarkan akan pemberian tersebut, seperti sebelumnya, beliau mengucap "inna lillah hi wa in nalillah hirajiun" dan tidak mahu menerima wang tersebut. Tetapi setelah dinasihati dan dipujuk oleh isterinya untuk mengambil sebahagian kecil bagi kegunaan harian dan dapur kerana keadaan mereka saat itu terlalu teruk, maka diambil sebahagian kecilnya dan yang selebihnya diagih-agihkan kepada fakir miskin.

Dalam satu peristiwa dimana Khalifah Umar telah melawat kota Hams untuk mengetahui keadaan rakyatnya. Dia menemui penduduknya dan bertanyakan apa yang dilakukan gabenor mereka iaitu Said bin Umair. Para penduduk menyampaikan rasa terima kasih dan memuji kebaikan Said bin Umair. Namun, ada juga yang mengadukan tiga hal yang tidak mereka sukai tentang gabenornya. Bayangkanlah, seorang gabenor yang sebegini baik, masih ada juga yang cemburu dan masih mahu mengkhianatinya. Justeru itu, khlaifah Umar telah memanggil Said supaya berdiri di hadapan rakyatnya untuk di adili dan dipanggil juga ketiga-tiga pengadu tersebut untuk menyatakan aduan mereka.

Pengadu pertama menjawab, "Dia sering lewat keluar dari rumah untuk menemui rakyatnya. Biasanya dia akan menemui kami ketika hari sudah tengahari."

Amirul Mukminin Umar memandang Said bin Umair dan memintanya menjawab keluhan rakyatnya.
 Said pun berkata, "Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak suka membuka masalah ini. Tetapi diatas permintaan Khalifah, maka akan aku jawab. Keluargaku tidak mempunyai pembantu. Aku membantu mereka membuat adunan roti. Lalu aku menunggunya sehingga masak dan menyiapkan sarapan. Setelah itu aku berwuduk, dan keluar bekerja menemui rakyat".
Umar kemudian berkata, "Apalagi yang kamu tidak puas hati terhadapnya?"

Maka pengadu kedua menjawab, "Pada waktu malam dia tidak mahu membuka pintu rumahnya untuk sesiapa pun".

Said menjawab, "Demi Allah! Sebenarnya aku tidak suka menjelaskan hal ini juga. Aku telah membahagikan waktuku. Waktu siang untuk orang ramai (rakyat) dan waktu malam sepenuhnya untuk beribadat kepada Allah Azza Wa Jalla".


Umar kembali berkata, "Apakah lagi yang kamu tidak berpuashati dengan tindakannya?"

Maka pengadu ketiga menjawab, "Setiap bulan dia memiliki satu hari yang tidak boleh diganggu oleh sesiapa pun."

Umar berkata, "Apakah jawapanmu tentang hal itu, Said?"

Said menjawab, "Aku tiada pembantu yang mencuci pakaianku. Dan aku juga tidak memiliki pakaian kecuali yang aku pakai ini. Pada hari itu, aku mencuci pakaianku dan aku tunggu sehingga kering. Sehingga itu aku tidak dapat menemui mereka. Aku menemui mereka setelah pakaianku kering dan kebiasaanya ketika hari telah petang."

Seketika itu Umar berkata, "Segala puji bagi Allah yang tidak mengecewakan sangkaan baikku padamu."

Bertapa hebatnya para Sahabat Rasullullah SAW. Mereka semua bekerja dengan baik, semuanya untuk ibadah dan beribadat seperti ajal mereka terlalu hampir. Masih adakah para pemimpin di dunia ini seperti para sahabat rasullullah?
Semuanya kini mementingkan harta, darjat dan kuasa. Selagi belum tercapai hasrat keduniaan, selagi itu tidak berpuas hati. Satu penggal sebagai Yang Berhormat ADUN atau Ahli Parlimen, sudah memadai kepada para pemimpin kita untuk mengumpul harta kekayaan, darjat dan pangkat, tempoh tersebut digunakan dengan efisyen.

Benarlah kata Said bin Umair, "harta kekayaan itu mendekati kita kepada fitnah dan menjauhkan kita dari amal ibadat".


Zaman kegemilangan Islam, semasa zaman di mana memiliki para pemimpin seperti Said bin Umair. Ada yang sememangnya sudah kaya tapi di laburkan segala harta mereka kejalan Allah SWT. Dan Zaman kejatuhan kerajaan Islam adalah zaman Pemimpin semakin mewah, gila kuasa dan harta serta menzalimi orang bawahan, lihat bagaimana sejarah kejatuhan kerajaan agong uthmaniya dan di zaman kerajaan moden ketika ini seperti kejatuhan pemimpin Mesir, Libya dan Tunisia...