Pages

Sunday, October 30, 2011

Rosak amalan, kerana inginkan pujian...

Dalam sirah Nabi s.a.w menerusi kisah kematian Qazman, seorang yang menyamar sebagai muslim, berjuang bersama-sama dengan para sahabat, sedangkan hatinya menyertai para sahabat hanyalah bertujuan mendapat jolokan pejuang yang berjiwa bangsa arab untuk menjaga kepentingan Yathrib. Penyertaannya hanyalah untuk mendapatkan pujian orang, akhirnya beliau telah berjaya membunuh ramai musuh yang menyerang Madinah.

Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w agak keberatan menyebut kematianya sebagai salah seorang syuhada. Akhirnya Nabi s.a.w dengan tegas mengatakan dia mati sebagai seorang kafir yang tidak diterima usahanya sedikit pun disisi Allah s.w.t. Kenyataan Nabi disokong oleh sahabat yang menyaksikan bahawa Qazman telah membunuh dirinya sendiri dengan pendang yang dimiliki kerana kesakitan daripada luka yang dialaminya dalam peperangan Uhud.

Ini amat berbeza dengan keadaan seorang lagi perajurit islam dalam kalangan sahabat yang bernama Usayrim r.a. yang memeluk islam agak lambat. Walau bagaimanapun beliau telah menjejaki syurga dengan ketelusannya beriman kepada Allah s.w.t dan Rasulnya s.a.w... Rasulullah s.a.w pernah bersabda: " Usayrim ialah ahli syurga walaupun tempoh keislamnya amat pendek dan beliau belum pernah solat walaupun satu rakaat".

Kedua-dua personaliti ini berbeza kerana Qazman adalah suatu gambaran manusia yang menderita seperti pengembara yang mengarapkan kewujudan air dipadang pasir, ditempat yang amat payah menemuinya, sedangkan Usayrim r.a. ialah seorang bertaraf sahabat yang menyahut panggilan fitrah dalam dirinya, lantas menyertai Nabi s.a.w walaupun belum sempat berbuat apa-apa amalan termasuk solat.