Pages

Wednesday, February 15, 2012

GILA PANGKAT DAN GILA KUASA


Dalam dunia ini janganlah tergila-gila mencari pangkat, kuasa, harta, kedudukan dan apa saja berkaitan kehebatan dunia. Ini kerana jika kita ada 'benda-benda' ini, orang lain menunggu masa saja untuk mengambil atau merampas daripada kita. Sebagai contoh, jika kamu ada pangkat, ada orang mahukan pangkat kamu itu. Jika kamu ada kuasa, orang lain menunggu masa saja untuk mendapatkan kuasa kamu itu. Mungkin mereka akan terkata-kata, "bila dia nak pencen supaya aku mengambil tempatnya."

Kemudian jika kamu berharta, orang lain pun mahukan harta kamu itu. Kamu berusaha keras sehingga tidak memikirkan halal haram, tetapi akhirnya semuanya akan ditinggalkan. Jadi untuk apa kamu berusaha 'bagai nak gila' mendapatkan 'benda-benda' yang sentiasa dicemburui orang lain itu. Perompak, penyamun, perasuah, pembohong semuanya berusaha untuk mendapatkan harta kamu.

carilah 'benda-benda' yang orang lain tidak boleh rampas daripada kamu. Carilah status 'hamba Allah' sebenar yang tidak mungkin orang lain merampasnya. Sebagai contoh siapa boleh rampas hubungan erat kamu dengan Allah yang boleh diperolehi dengan mengikut jalan ditunjukinya. Siapa boleh rampas solat kamu yang khusyuk, siapa boleh rampas zikir kamu atau ketenangan hati yang kamu miliki?

Pertingkatkanlah ilmu kerana tiada orang yang boleh merampasnya daripada kamu.
Malah kalau kamu berkongsi mengajar ilmu, ia akan bertambah. Apabila ilmu dikeluarkan, ia akan menjadi semakin banyak, tidak seperti harta jika kamu keluarkan ia akan semakin habis.

Sayidina Ali yang disifatkan sebagai kunci ilmu kepada gedung ilmu oleh Rasulullah s.a.w. mengingatkan, ilmu dapat menjaga kamu sedangkan kalau kamu ada harta, kamu yang akan menjadi hamba menjaganya. Janganlah kamu mengejar pangkat, kuasa dan harta, semua orang gila kepadanya. Sebaliknya sibukkanlah diri kamu mendapatkan pangkat di sisi-Nya dan itu tidak dapat dilakukan jika tidak berilmu. Jadi teruslah mencari ilmu. Hidup kamu akan lebih tenang kerana tiada siapa boleh merampasnya daripada kamu.

No comments: