Pages

Sunday, October 30, 2011

Rosak amalan, kerana inginkan pujian...

Dalam sirah Nabi s.a.w menerusi kisah kematian Qazman, seorang yang menyamar sebagai muslim, berjuang bersama-sama dengan para sahabat, sedangkan hatinya menyertai para sahabat hanyalah bertujuan mendapat jolokan pejuang yang berjiwa bangsa arab untuk menjaga kepentingan Yathrib. Penyertaannya hanyalah untuk mendapatkan pujian orang, akhirnya beliau telah berjaya membunuh ramai musuh yang menyerang Madinah.

Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w agak keberatan menyebut kematianya sebagai salah seorang syuhada. Akhirnya Nabi s.a.w dengan tegas mengatakan dia mati sebagai seorang kafir yang tidak diterima usahanya sedikit pun disisi Allah s.w.t. Kenyataan Nabi disokong oleh sahabat yang menyaksikan bahawa Qazman telah membunuh dirinya sendiri dengan pendang yang dimiliki kerana kesakitan daripada luka yang dialaminya dalam peperangan Uhud.

Ini amat berbeza dengan keadaan seorang lagi perajurit islam dalam kalangan sahabat yang bernama Usayrim r.a. yang memeluk islam agak lambat. Walau bagaimanapun beliau telah menjejaki syurga dengan ketelusannya beriman kepada Allah s.w.t dan Rasulnya s.a.w... Rasulullah s.a.w pernah bersabda: " Usayrim ialah ahli syurga walaupun tempoh keislamnya amat pendek dan beliau belum pernah solat walaupun satu rakaat".

Kedua-dua personaliti ini berbeza kerana Qazman adalah suatu gambaran manusia yang menderita seperti pengembara yang mengarapkan kewujudan air dipadang pasir, ditempat yang amat payah menemuinya, sedangkan Usayrim r.a. ialah seorang bertaraf sahabat yang menyahut panggilan fitrah dalam dirinya, lantas menyertai Nabi s.a.w walaupun belum sempat berbuat apa-apa amalan termasuk solat.

Saturday, September 3, 2011

KETUA MENTERI YANG MISKIN...

Said bin Umair seorang gabenor yang fakir di Kota Hams, Syria. Beliau dilantik menjadi gabenor semasa zaman Khalifah Umar bin al-Khatab r.a.
Khalifah Umar al-Khatab r.a adalah seorang pemimpin yang sentiasa mengambil berat hal ehwal kebajikan rakyatnya. Setiap tahun beliau menyampaikan senarai mereka yang layak untuk menerima bantuan dari harta Baitulmal.

Pada suatu ketika, apabila senarai penerima bantuan diserahkan kepada Khalifah Umar, maka terperanjatlah Umar kerana didalam senarai tersebut adanya nama Said bin Umair yang paling layak menerima bantuan.

Untuk mendapatkan kepastian, Khalifah Umar bertanya, siapakah Said bin Umair ini. Utusan yang membawa senarai tersebut menjawab "beliau adalah gabenor kami". demi Allah! sudah berhari-hari dapur rumahnya tidak berasap, tidak ada makanan untuk dimasak".

Mendengar berita itu, Khalifah Umar menangis, Kemudian memasukkan seribu dinar ke dalam bungkusan dan berkata, "Berikan ini kepadanya untuk kehidupannya''. Utusan itu kembali ke kotanya. Lalu diserahkan bingkusan itu kepada Gabenornya. lalu Said bin Umair melafazkan, "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un" seolah-olah beliau ditimpa masalah besar.

Isterinya terdengar kata-kata bernada sedih itu lalu bertanya, "Ada apakah? Apakah yang terjadi? Apakah hal yang terjadi ke atas amirul Mukminin?" Said berkata, "Lebih dari itu. Sekarang aku di datangi keduniaan yang hendak merosakkan akhiratku".

Isterinya menjawab, "Lenyapkan saja dunia itu." sebenarnya Isteri Said bin Umair tidak tahu sama sekali tentang seribu dinar itu. Said berkata, "Isteriku, sudikah kau akan membantuku melenyapkannya?"

Isterinya menjawab, "Ya." tanpa menunggu masa yang lama, mereka mengagihkan seribu dinar tadi kepada fakir miskin yang berada di dalam kota Hams.

Pada tahun berikutnya, seperti biasa, apabila Khalifah Umar menerima senarai penerima, Said bin Umair telah berada pada tangga pertama yang layak menerima bantuan Baitulmal. Khalifah Umar menghantar bantuan, tetapi pada kali ini telah diterima oleh isterinya, apabila dikhabarkan akan pemberian tersebut, seperti sebelumnya, beliau mengucap "inna lillah hi wa in nalillah hirajiun" dan tidak mahu menerima wang tersebut. Tetapi setelah dinasihati dan dipujuk oleh isterinya untuk mengambil sebahagian kecil bagi kegunaan harian dan dapur kerana keadaan mereka saat itu terlalu teruk, maka diambil sebahagian kecilnya dan yang selebihnya diagih-agihkan kepada fakir miskin.

Dalam satu peristiwa dimana Khalifah Umar telah melawat kota Hams untuk mengetahui keadaan rakyatnya. Dia menemui penduduknya dan bertanyakan apa yang dilakukan gabenor mereka iaitu Said bin Umair. Para penduduk menyampaikan rasa terima kasih dan memuji kebaikan Said bin Umair. Namun, ada juga yang mengadukan tiga hal yang tidak mereka sukai tentang gabenornya. Bayangkanlah, seorang gabenor yang sebegini baik, masih ada juga yang cemburu dan masih mahu mengkhianatinya. Justeru itu, khlaifah Umar telah memanggil Said supaya berdiri di hadapan rakyatnya untuk di adili dan dipanggil juga ketiga-tiga pengadu tersebut untuk menyatakan aduan mereka.

Pengadu pertama menjawab, "Dia sering lewat keluar dari rumah untuk menemui rakyatnya. Biasanya dia akan menemui kami ketika hari sudah tengahari."

Amirul Mukminin Umar memandang Said bin Umair dan memintanya menjawab keluhan rakyatnya.
 Said pun berkata, "Demi Allah! Sesungguhnya aku tidak suka membuka masalah ini. Tetapi diatas permintaan Khalifah, maka akan aku jawab. Keluargaku tidak mempunyai pembantu. Aku membantu mereka membuat adunan roti. Lalu aku menunggunya sehingga masak dan menyiapkan sarapan. Setelah itu aku berwuduk, dan keluar bekerja menemui rakyat".
Umar kemudian berkata, "Apalagi yang kamu tidak puas hati terhadapnya?"

Maka pengadu kedua menjawab, "Pada waktu malam dia tidak mahu membuka pintu rumahnya untuk sesiapa pun".

Said menjawab, "Demi Allah! Sebenarnya aku tidak suka menjelaskan hal ini juga. Aku telah membahagikan waktuku. Waktu siang untuk orang ramai (rakyat) dan waktu malam sepenuhnya untuk beribadat kepada Allah Azza Wa Jalla".


Umar kembali berkata, "Apakah lagi yang kamu tidak berpuashati dengan tindakannya?"

Maka pengadu ketiga menjawab, "Setiap bulan dia memiliki satu hari yang tidak boleh diganggu oleh sesiapa pun."

Umar berkata, "Apakah jawapanmu tentang hal itu, Said?"

Said menjawab, "Aku tiada pembantu yang mencuci pakaianku. Dan aku juga tidak memiliki pakaian kecuali yang aku pakai ini. Pada hari itu, aku mencuci pakaianku dan aku tunggu sehingga kering. Sehingga itu aku tidak dapat menemui mereka. Aku menemui mereka setelah pakaianku kering dan kebiasaanya ketika hari telah petang."

Seketika itu Umar berkata, "Segala puji bagi Allah yang tidak mengecewakan sangkaan baikku padamu."

Bertapa hebatnya para Sahabat Rasullullah SAW. Mereka semua bekerja dengan baik, semuanya untuk ibadah dan beribadat seperti ajal mereka terlalu hampir. Masih adakah para pemimpin di dunia ini seperti para sahabat rasullullah?
Semuanya kini mementingkan harta, darjat dan kuasa. Selagi belum tercapai hasrat keduniaan, selagi itu tidak berpuas hati. Satu penggal sebagai Yang Berhormat ADUN atau Ahli Parlimen, sudah memadai kepada para pemimpin kita untuk mengumpul harta kekayaan, darjat dan pangkat, tempoh tersebut digunakan dengan efisyen.

Benarlah kata Said bin Umair, "harta kekayaan itu mendekati kita kepada fitnah dan menjauhkan kita dari amal ibadat".


Zaman kegemilangan Islam, semasa zaman di mana memiliki para pemimpin seperti Said bin Umair. Ada yang sememangnya sudah kaya tapi di laburkan segala harta mereka kejalan Allah SWT. Dan Zaman kejatuhan kerajaan Islam adalah zaman Pemimpin semakin mewah, gila kuasa dan harta serta menzalimi orang bawahan, lihat bagaimana sejarah kejatuhan kerajaan agong uthmaniya dan di zaman kerajaan moden ketika ini seperti kejatuhan pemimpin Mesir, Libya dan Tunisia...



Tuesday, August 16, 2011

KESATUAN SEKERJA : SUATU KEPERLUAN DAN HAK

Sejarah selalu mengajar kita pelbagai perkara terutama tentang kehidupan. Keadaan kehidupan biasanya diibarat sebagai roda berpusing. Jika berada diatas, maka selesa kehidupan kita begitulah sebaliknya bila berada dibawah. Pernahkah kita berada dikedua-dua situasi tersebut atau orang disekeliling kita mengalaminya. Kita selalu diajar supaya jangan lupa diri bila berada diatas dan sentiasa beringat.
Jangan menjadi dangkal akal apabila mengikut situasi semasa. Keadaan tidak mendesak, tiada masalah ditempat kerja, gaji yang baik dan sebagainya menjadikan alasan untuk tidak memerlukan Kesatuan Sekerja. Perlu diingat hari ini kita diatas, bila pula kita dibawah, atau bila ditimpa masalah baru hendak mencari pertolongan ibarat “kapal hendak karam, baru sibuk mencari pelampung”. ketika itu sudah terlambat.
Apakah jika kita ingin menuntut hak dan kebajikan kita sendiri pun akan timbul rasa takut. Takut perlulah bertempat dan jangan sebarangan. Melalui Kesatuan Sekerja, anda akan sedar hak anda sebagai pekerja dan juga manusia. Sedangkan selama ini, ada dikalangan Majikan-majikan di Negara ini hanya tahu mengejar keuntungan dan mengabaikan kebajikan pekerja. Masalah di tempat kerja, datang tidak kira waktu, hari ini, esok, bulan depan atau tahun depan pasti akan timbul masalah. Sedar atau tidak, anda sendiri yang tentukan.

Apakah anda akan takut jika anda dituduh melakukan kesalahan dalam pekerjaan dan dipaksa berhenti tanpa anda boleh mempertahankan diri. Jika semua perkara ini akan berlaku kepada anda dan semasa itulah anda cuba untuk memohon bantuan Kesatuan ataupun mana-mana pihak, mungkin tindakan anda agak terlambat.
Kesimpulannya, wujudnya Kesatuan Sekerja adalah:
  • untuk membela pekerja yang ditindas.
  • untuk memberikan kesedaran kepada pekerja keseluruhannya.
  • memberi bantuan dan sokongan dalam berhadapan dengan majikan.
  • mewujudkan suasana harmoni diantara majikan dan pekerja.
  • mewujudkan situasi “menang-menang” majikan dan pekerja.
  • mencari penyelesaian dan keadilan kepada pekerja dan banyak lagi.
Sebagai pekerja, informasi ini perlu kita ketahui. Mari kita belajar dari sejarah. Jangan menutup peluang dan ruang untuk diri kita sendiri. Kelak , diri sendiri, keluarga dan masyarakat akan rugi dan tiada apa yang tinggal. Beringatlah, kita bukanlah yang membuat keputusan tetapi kita sentiasa terdedah dengan keputusan majikan yang tidak wajar. Kesatuan adalah untuk pekerja dan ia perlu wujud serta disokong oleh pekerja itu sendiri...

Mohd. Idrus Bin Hj. Sharif Ekang,
Presiden,
Kesatuan Pekerja-pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia, Sabah.
(KEPAIMS)


Monday, January 31, 2011

KEPEMIMPINAN DAN PERUBAHAN

Tugas besar mentransformasikan umat ini memerlukan kehadiran sejenis kepemimpinan yang diistilahkan sebagai transfoming leader, iaitu kepemimpinan yang mampu merubah umat, menggilap bakatnya, mengembangkan potensinya dan menyegarkan nilai-nilai unggul agama dan budayanya. Dengan ungkapan lain, kita memerlukan kehadiran pemimpin yang mampu membangunkan umat. Memang yang namanya pemimpin bukan cuma mengarah dan mengerah, tetapi harus tahu dan mampu mendidik umat, Pemimpin adalah human transfomer atau pembina umat baru.
Dunia sekarang ini mengalami pelbagai perubahan yag pesat dan dahsyat. Terlalu banyak new realities, realiti-realiti baru yang harus ditangani. Malah apa yang dinamakan masa depan itu sebenarnya sudah kita masuki. Memang era sekarang adalah era perubahan yang memerlukan penampilan pemimpin yang mampu menanganinya. Tidak semua orang yang disebut pemimpin mampu menangani perubahan. Dalam era perubahan seperti sekarang ini, pimpinan umat harus menyedari apa yang disebut sebagai perubahan-perubahan disekitar tugas. Untuk itu mereka harus memperoleh maklumat yang secukupnya tentang perubahan-perubahan yang berlaku sesungguhnya dalam suasana persaingan yang kian sengit sekarang ini keunggulan akan hanya dicapai oleh pihak yang paling awal tahu dan paling cepat bertindak.
Dalam kata lain mereka harus mempunyai kekuatan intelektual dan ketajaman daya analisis. Dengan demikian mereka akan mampu membina wawasan dan mampu mmenggariskan matlamat yang jelas. Pemimpin yang tidak mempunyai kemampuan berfikir, yang tidak punya budaya membaca dan tidak mampu mengikuti dunia perbukuan tidak akan mampu mengangkat martabat umat di zaman ilmu, zaman yang segala-segalanya harus berasaskan ilmu.
Yang lebih asas dari itu semua ialah kesedaran tentang erti kepemimpinan sebagai amanah dan tanggungjawab, bukanya kemegahan dan kebesaran. Silap besar kalau ada orang menanggapi kepemimpinan sebagai suatu kedudukan yang sedap. Demikian juga jika menganggap kepemimpinan sebagai suatu yang mudah sehingga  siapa sahaja boleh menjadi pemimpin.
Menyedari hakikat kepemimpinan sebagai suatu amanah, umat ini harus bijaksana dalam memilih pemimpin. Memilih pemimpin tidak sama dengan memilih buah. Anagoli kepimpinan dengan buah-buahan tidak tepat. Sebagai suatu amanah ia hanya boleh diserahkan kepada ahlihnya, iaitu orang yang layak memikulnya (surah an-Nisa:58) Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Kepimpinan tidak boleh dijadikan hadiah kerana mengenang budi. Dalam Islam pemimpin yang berbudi tidak meminta balasan dari rakyat atau orang bawahan. Apa yang dilakukannya harus tulus kerana Allah (surah al-Insan: 9) “Sesungguhnya Kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih”.
Kepimpinan juga tidak boleh diberikan kerana kesihan. Membebani seseorang dengan tanggungjawab yang di luar kemampuan bukanlah cara yang betul untuk mengasihaninya. Rasulullah S.A.W mengasihani Abu Dharr al-Ghifariy (yang tidak mampu memikul tanggungjawab pentadbiran) dengan melepaskannya dari sebarang jawatan.
Dalam tradisi Islam pemilihan pemimpin termasuk dalam bidang siyasah shar’iyyah, bidang yang menekankan aspek kebaikan ummah dalam menangani keadaan-keadaan yang berubah-ubah mengikut ruang dan waktu. Cara memilih pemimpin dalam sejarah Islam berubah-ubah. Para Khulafa ar-Rasyidin dipilih dengan cara yang berlainan antara satu dengan lain. Cara pemilihan Saidina Abu Bakar tidak sama dengan cara pemilihan Saidina Umar. Demikian juga acara pemilihan Saidina Umar tidak sama dengan cara pemilihan Saidina Uthman atau Saidina Ali.
Jelas kiranya dalam soal cara memilih pemimpin, generasi sahabat bersikap amat terbuka. Mereka tidak mempertahankan sesuatu amalan yang bersifat siyasah shar’iyyah itu sebagai suatu tradisi keramat yang harus dipatuhi terus-menerus. Dalam amalan siyasah shar’iyyah yang dipentingkan bukan kesinambungan tradisi, tetapi masalah atau kepentingan umat yang jelas berubah-ubah dari waktu ke waktu.
Dalam hubungan ini soal umur dan senioriti juga bukan suatu kriteria yang mutlak. Kerana itulah Rasulullah s.a.w telah melantik Usamah ibn Zayd yang masih sangat muda itu untuk mengepalai suatu ekspedisi ketenteraan. Pada zaman Abu Bakar al-Siddiq r.’a. telah timbul desakan agar Usamah digantikan oleh panglima yang lebih tua. Tetapi Abu Bakar tetap mempertahankan perlantikan Usamah.
Memang umur bukan penentu kehebatan seseorang. Yang tua belum tentu pejal, yang muda belum tentu rapuh. Malah mungkin sebaliknya. Dalam kaitan ini pernah terjadi suatu dialog menarik antara seorang khalifah Umayyah dengan seorang pemuda yang menjadi juru bicara kaumnya. Khalifah tersebut pada mulanya semacam enggan menerima juru bicara pemuda itu. Katanya,”tampilah yang tertua dari kalangan kamu”. Anak muda yang merasa dirinya diremehkan itu lalu menjawab, “Andainya keutamaan itu berdasarkan umur, anda sendiri tidak layak menjadi Amiru Mu’minin kerana masih ramai orang-orang yang lebih tua dari anda.”
Selaras dengan perubahan-perubahan pesat yang sedang berlaku kita terpaksa melakukan penyesuaian-penyesuaian dan perubahan-perubahan dalam pelbagai dasar dan sikap masyarakat kita. Untuk melaksanakan agenda perubahan ini kita memerlukan kehadiran pemimpin perubah atau transformational leader. Cabaran-cabaran baru yang kita hadapi tidak lagi dapat kita sahut dengan traditional politics atau politik gaya lama.