Pages

Monday, January 31, 2011

KEPEMIMPINAN DAN PERUBAHAN

Tugas besar mentransformasikan umat ini memerlukan kehadiran sejenis kepemimpinan yang diistilahkan sebagai transfoming leader, iaitu kepemimpinan yang mampu merubah umat, menggilap bakatnya, mengembangkan potensinya dan menyegarkan nilai-nilai unggul agama dan budayanya. Dengan ungkapan lain, kita memerlukan kehadiran pemimpin yang mampu membangunkan umat. Memang yang namanya pemimpin bukan cuma mengarah dan mengerah, tetapi harus tahu dan mampu mendidik umat, Pemimpin adalah human transfomer atau pembina umat baru.
Dunia sekarang ini mengalami pelbagai perubahan yag pesat dan dahsyat. Terlalu banyak new realities, realiti-realiti baru yang harus ditangani. Malah apa yang dinamakan masa depan itu sebenarnya sudah kita masuki. Memang era sekarang adalah era perubahan yang memerlukan penampilan pemimpin yang mampu menanganinya. Tidak semua orang yang disebut pemimpin mampu menangani perubahan. Dalam era perubahan seperti sekarang ini, pimpinan umat harus menyedari apa yang disebut sebagai perubahan-perubahan disekitar tugas. Untuk itu mereka harus memperoleh maklumat yang secukupnya tentang perubahan-perubahan yang berlaku sesungguhnya dalam suasana persaingan yang kian sengit sekarang ini keunggulan akan hanya dicapai oleh pihak yang paling awal tahu dan paling cepat bertindak.
Dalam kata lain mereka harus mempunyai kekuatan intelektual dan ketajaman daya analisis. Dengan demikian mereka akan mampu membina wawasan dan mampu mmenggariskan matlamat yang jelas. Pemimpin yang tidak mempunyai kemampuan berfikir, yang tidak punya budaya membaca dan tidak mampu mengikuti dunia perbukuan tidak akan mampu mengangkat martabat umat di zaman ilmu, zaman yang segala-segalanya harus berasaskan ilmu.
Yang lebih asas dari itu semua ialah kesedaran tentang erti kepemimpinan sebagai amanah dan tanggungjawab, bukanya kemegahan dan kebesaran. Silap besar kalau ada orang menanggapi kepemimpinan sebagai suatu kedudukan yang sedap. Demikian juga jika menganggap kepemimpinan sebagai suatu yang mudah sehingga  siapa sahaja boleh menjadi pemimpin.
Menyedari hakikat kepemimpinan sebagai suatu amanah, umat ini harus bijaksana dalam memilih pemimpin. Memilih pemimpin tidak sama dengan memilih buah. Anagoli kepimpinan dengan buah-buahan tidak tepat. Sebagai suatu amanah ia hanya boleh diserahkan kepada ahlihnya, iaitu orang yang layak memikulnya (surah an-Nisa:58) Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Kepimpinan tidak boleh dijadikan hadiah kerana mengenang budi. Dalam Islam pemimpin yang berbudi tidak meminta balasan dari rakyat atau orang bawahan. Apa yang dilakukannya harus tulus kerana Allah (surah al-Insan: 9) “Sesungguhnya Kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keridhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih”.
Kepimpinan juga tidak boleh diberikan kerana kesihan. Membebani seseorang dengan tanggungjawab yang di luar kemampuan bukanlah cara yang betul untuk mengasihaninya. Rasulullah S.A.W mengasihani Abu Dharr al-Ghifariy (yang tidak mampu memikul tanggungjawab pentadbiran) dengan melepaskannya dari sebarang jawatan.
Dalam tradisi Islam pemilihan pemimpin termasuk dalam bidang siyasah shar’iyyah, bidang yang menekankan aspek kebaikan ummah dalam menangani keadaan-keadaan yang berubah-ubah mengikut ruang dan waktu. Cara memilih pemimpin dalam sejarah Islam berubah-ubah. Para Khulafa ar-Rasyidin dipilih dengan cara yang berlainan antara satu dengan lain. Cara pemilihan Saidina Abu Bakar tidak sama dengan cara pemilihan Saidina Umar. Demikian juga acara pemilihan Saidina Umar tidak sama dengan cara pemilihan Saidina Uthman atau Saidina Ali.
Jelas kiranya dalam soal cara memilih pemimpin, generasi sahabat bersikap amat terbuka. Mereka tidak mempertahankan sesuatu amalan yang bersifat siyasah shar’iyyah itu sebagai suatu tradisi keramat yang harus dipatuhi terus-menerus. Dalam amalan siyasah shar’iyyah yang dipentingkan bukan kesinambungan tradisi, tetapi masalah atau kepentingan umat yang jelas berubah-ubah dari waktu ke waktu.
Dalam hubungan ini soal umur dan senioriti juga bukan suatu kriteria yang mutlak. Kerana itulah Rasulullah s.a.w telah melantik Usamah ibn Zayd yang masih sangat muda itu untuk mengepalai suatu ekspedisi ketenteraan. Pada zaman Abu Bakar al-Siddiq r.’a. telah timbul desakan agar Usamah digantikan oleh panglima yang lebih tua. Tetapi Abu Bakar tetap mempertahankan perlantikan Usamah.
Memang umur bukan penentu kehebatan seseorang. Yang tua belum tentu pejal, yang muda belum tentu rapuh. Malah mungkin sebaliknya. Dalam kaitan ini pernah terjadi suatu dialog menarik antara seorang khalifah Umayyah dengan seorang pemuda yang menjadi juru bicara kaumnya. Khalifah tersebut pada mulanya semacam enggan menerima juru bicara pemuda itu. Katanya,”tampilah yang tertua dari kalangan kamu”. Anak muda yang merasa dirinya diremehkan itu lalu menjawab, “Andainya keutamaan itu berdasarkan umur, anda sendiri tidak layak menjadi Amiru Mu’minin kerana masih ramai orang-orang yang lebih tua dari anda.”
Selaras dengan perubahan-perubahan pesat yang sedang berlaku kita terpaksa melakukan penyesuaian-penyesuaian dan perubahan-perubahan dalam pelbagai dasar dan sikap masyarakat kita. Untuk melaksanakan agenda perubahan ini kita memerlukan kehadiran pemimpin perubah atau transformational leader. Cabaran-cabaran baru yang kita hadapi tidak lagi dapat kita sahut dengan traditional politics atau politik gaya lama.  

No comments: